Wednesday, 30 May 2012

MANHAJ HIDUP MUSLIM BAB 12



LA ILAHA ILLA'LI.AH
MANHAJ HIDUP MUSLIM

Pengabdian diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala adalah merupakan akar tunjang dan rukun pertama dalam aqidah Islamiyyah yang dijelmakan di dalam pengakuan: Tiada Tuhan Melainkan Allah (LAA ILAAHA ILLALLAH). Manakala menerima pengajaran dari Rasulullah Sallallahu'alaihi Wasallam mengenai cara menjalankan dan melaksanakan pengabdian itu adalah merupakan bahagian yang kedua daripadanya, yang dijelmakan di dalam pengakuan: Muhammad itu ialah Utusan Allah (MUHAMMADUR RASULULLAH).

Pengakuan yang ringkas dan mutlak itu memberikan panduan kepada kita untuk membuat kata pemutus mengenai beberapa persoalan pokok mengenai hakikat agama ini dan mengenai gerakannya di dalam kenyataan.
Pengakuan ini memberi panduan kepada kita dalam membuat garis pemisah mengenai:

Pertama :Bentuk dan tabiat masyarakat Islam.
Kedua:Program pertumbuhan dan perkembangan masyarakat
Islam.
Ketiga :Program Islam dalam menghadapi masyarakat- masyarakat    jahiliyah.
Keempat :Program Islam dalam menghadapi kenyataan hidup           umat manusia seluruhnya.
yang semuanya ini merupakan masalah pokok dalam program gerakan Islam, dulu dan sekarang.

Pengabdian diri itu hendaklah terjelma di dalam bentuk kepercayaan seperti juga di dalam semua syiar-syiar dan simbol-simbol peribadatan, sepertimana juga ianya menjelma di dalam peraturan-peraturan dan undang-undang. Sebab bukanlah menjadi hamba Allah Subhanahu Wata'ala seorang yang tidak meyakini keesaan dan ketunggalan Allah Subhanahu Wata'ala.
Firman Allah:

Dan Allah berkata: Janganlah kamu adakan dua Tuhan, kerana sesungguhnya Tuhan itu Esa, dan kepada-Kulah hendaknya kamu takut. Dan bagi-Nyalah apa yang ada di langit dan di bumi, dan bagi-Nyalah ketaatan dengan tetap, apakah kepada yang selain dari
Allah kamu mahu berbakti?
(Surah Al-Nahl: Ayat 51-52).

Dan bukanlah hamba Allah Subhanahu Wata'ala orang yang mempersembahkan atau pun melakukan syi'ar dan lambang pengabdian kepada yang lain daripada Allah, sama ada bersama-sama dengan Allah atau pun secara bersendirian dan tidak bersama-sama dengan Allah. Firman Allah Subhanahu Wata'ala:

Katakanlah: "sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidup dan matiku, adalah kerana Allah Tuhan seru sekalian alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya dan begitulah aku diperintah dan adalah aku orang Islam yang pertama. (Surah Al-An'am: Ayat 162—163).

Dan bukanlah hamba Allah Subhanahu Wata'ala orang yang menerima peraturan dan undang-undang dari yang lain daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Melainkan melalui jalan yang Allah telah sampaikan kepada kita, iaitu jalan Rasulullah SAW. Firman Allah:

Maksudnya: Atau adakah bagi mereka sekutu-sekutu yang mengatur untuk mereka sebagai agama, sesuatu yang Allah tidak izinkan? (Surah Asy-Syura : Ayat 21)

Dan apa-apa yang diberi oleh Rasul kepada kamu, maka ambillah, dan apa-apa yang ia larang kamu, maka jauhilah.
(Surah Al-Hasyr: Ayat 7)

Dengan demikian, maka sebelum daripada difikirkan soal mewujudkan sistem masyarakat Islam, dan sebelum daripada mewujudkan masyarakat Islam di atas landasan sistem itu perlu dan sayugialah dititikberatkan dahulu kepada kebersihan setiap hati nurani si Muslim itu dari mengabdikan diri kepada yang lain daripada Allah, dalam sebarang bentuk dan rupa yang diri kepada yang lain daripada Allah, dalam sebarang bentuk dan rupa yang telah kita kemukakan tadi, dan hendaklah individu yang hati nuraninya itu bersih dan suci dari sebarang pengabdian
diri kepada yang lain daripada Allah itu berkumpul dalam suatu Jama'ah Islamiah dan Jama'ah yang hati nurani anggota-anggotanya suci bersih dari pengabdian diri kepada yang lain daripada Allah di segi i'tiqad, ibadat dan perundangan, dari merekalah akan dapat tumbuh masyarakat Islam, dan akan disertai oleh setiap orang yang mahu hidup di dalam masyarakat itu dengan 'aqidahnya sendiri ibadatnya sendiri dan syariatnya sendiri yang menjelma dalam bentuk pengabdian diri dan ketundukan kepada Allah Subhanahu Wata'ala semata-mata atau dengan perkataan lain menjelma dalamnya pengakuan: bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad ialah utusan Allah (LA ILAHA ILL ALLAH MUHAMMADUR RASULULLAH).
Begitulah tumbuhnya Jama'ah Islamiyyah yang ulung dahulu dan telah dapat membangunkan masyarakat Islam yang pertama dan demikian pulalah kaedahnya pertumbuhan setiap Jema'ah Islamiyyah di setiap ketika dan tempat dan demikian pulalah tumbuhnya setiap masyarakat muslim bila, mana dan di mana sahaja pun.

Sesungguhnya Islam itu tidak memandang kepada simbol dan kepada judul yang ditonjolkan oleh masyarakat itu; kerana semuanya itu berpadu di dalam suatu hakikat sahaja, iaitu: bahawa kehidupan di dalam masyarakat itu tidak tegak di atas dasar pengabdian diri sepenuhnya kepada Allah dan semuanya itu bertemu di dalam suatu hakikat yang menyatukannya, semuanya, iaitu hakikat: Jahiliyyah.
Dan ini membawa kita kepada persoalan yang penghabisan, iaitu jalan program Islam dalam menghadapi realiti umat manusia seluruhnya hari ini, esok dan seterusnya hingga ke akhir zaman dan di sinilah amat berguna sekali penjelasan kita mengenai "bentuk masyarakat Islam" yang kita huraikan tadi tentang tabi'at masyarakat Islam itu yang dibangunkan di atas asas pengabdian diri sepenuhnya kepada Allah Subhanahu Wata'aladalam semua urusan.
Sesungguhnya penegasan tabiat dan sifat ini akan dapat memberikan jawapan yang tepat mengenai pertanyaan berikut: "Apakah asal usul yang menjadi sandaran kepada hidupmanusia? Adakah asal dan di atas apa hidup manusia itu ditegakkan? Adakah asal agama Allah dan programnya untuk dihayati? Atau adakah asal itu bersandar kepada realiti hidup manusia itu sendiri dalam bentuk yang bagaimanapun?
JAWAPANNYA dirujukkan segala sesuatu dan wajib dipercayai ialah: agama Allah dan programnya untuk dihayati, iaitu pengakuan TIADA TUHAN MELAINKAN ALLAH DAN MUHAMMAD ITU UTUSAN ALLAH (LA ILLAHA ILLALAH MUHAMMADUR RASULULLAH)

Agama Allah itu bukanlah sesuatu yang kabur dan programnya untuk dihayati bukanlah sesuatu yang pragmatis. Ia sangat tegas dengan rangkaian yang kedua MUHAMMADUR RASULULLAH (Muhammad itu utusan Allah) ia adalah terlingkung dalam apa yang telah disampaikan oleh Rasululah dengan nas (teks)nya di dalam perkara-perkara pokok dan dasar. Sekiranya di sana terdapat nas maka nas itulah yang menjadi hukum dan keputusan dan tidak ada jalan untuk ijtihad; tetapi kalau tiada nas, maka tibalah peranan dan giliran ijtihad, menurut patokan dan dasar-dasar yang telah ditetapkan di dalam panduan Allah Subhanahu Wata'ala sendiri bukan menurut kecenderungan hawa nafsu dan kemahuan manusia. Firman Allah:

...Maka sekiranya kamu berbantahan di dalam satu perkara, hendaklah kamu kembalikan dia kepada Allah dan Rasul...
(Surah Al-Nisa': Ayat 59).

Dan dasar-dasar yang telah ditetapkan untuk diijtihadkan dan diistinbat juga telah digariskan dengan terang dan nyata dan malah dikenal serta diketahui umum, bukan sesuatu yang kabur dan pragmatis tiada seorang pun yang berhak mengatakan bahawa sesuatu yang dia putuskan itu "ini ketetapan Allah," yang dilakukannya melainkan sehingga hukum dan keputusan itu sesuai dan secocok dengan apa yang digaris oleh Allah, dan bahawa sumber kekuasaan dan keputusan itu ialah Allah Subhanahu Wata'ala, bukan RAKYAT dan juga bukan PARTI, pun juga bukan sebarang manusia, segala apa jua pun hendaklah dirujukkan kepada kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya untuk mengetahui apa yang dikehendaki oleh Allah Subhanahu Wata'ala,dan  tidak ada sedikit pun dalam Islam, dan tiada seorang pun yang berhak atas nama Allah melainkan Rasul-Nya Sallallahu'alaihu Wasallam dan hanya di sana ada nas-nas tertentu yang menentukan apa yang diperintah oleh Allah Subhanahu Wata'ala.
Sesungguhnya perkataan "agama untuk realiti" telah disalahgunakan dan disalahertikan. Memang benarlah bahawa agama itu untuk realiti, tetapi realiti yang bagaimanakah?
Yang sebenarnya realiti yang boleh diterima itu ialah realiti yang telah ditumbuhkan oleh agama itu sendiri, mengikut panduan dan jalannya, selaras dengan fitrah manusia yang semula  jadi, yang melaksanakan keperluan-keperluan "manusia" yang sebenarnya. Keperluankeperluan yang telah diputuskan oleh Allah yang menciptakannya kerana Allah Maha Mengetahui tentang apa yang dijadikannya. Firman Allah:

Tidakkah [Tuhan] yang menjadikan itu tahu, sedangkan Ia-lah yang Halus, Yang Dasar!
(AlMulk: 14)

Agama itu menghadapi realiti untuk membuat pertimbangan sesuai dengan neracanya. Ia menerima apa yang diterimanya dan memansukh apa yang dimansukhkannya; dan ia akan mengadakan suatu realiti yang lain kalau didapatinya realiti yang sedang wujud itu tidak sesuai. Realiti
yang dihasilkan oleh agama itulah realiti yang sebenarnya. Inilah pengertian yang sebenarnya bahawa Islam itu agama untuk realiti; atau itulah yang sepatutnya dimengerti benar-benar. Mungkin di sini timbul satu soalan pula: "Bukankah muslihat dan kepentingan umat manusia itu yang mesti membentuk realiti untuk mereka?"
Dalam hal ini perlu kita kembali kepada pokok pangkal persoalan dan perlu kita kembali kepada pertanyaan yang dibuat dan dijawab sendiri oleh Islam: (adakah kamu yang lebih mengerti, ataukah Allah yang Lebih Mengetahui?) dan:

...(Dan Allahlah Yang Maha Mengetahui sedangkan kamu tidak tahu). (Surah Ali-Imran: Ayat 66)

...Mereka hanya menurut sangkaan dan mengikut apa yang diinginkan oleh hawa nafsu mereka, pada hal sesungguhnya telah datang kepada mereka petunjuk dari Tuhan mereka. Atau apakah manusia itu akan mendapat apa-apa yang ia mahu? Maka kepunyaan Allahlah akhirat dan dunia. (Surah Al-Najm: Ayat 23—25).

Dan kafirlah sesiapa jua yang mendakwa bahawa muslihatnya berlawanan dengan apa yang telah disyari'atkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala, dan orang seperti itu tidak kekal dalam Islam walau sesaat pun.

No comments:

Post a Comment