APAKAH SYARI'AH ITU?
Syari'ah bererti
cara dan jalan. Bagaimana cara anda untuk mengabdi kepada Allah, dan jalan mana
yang harus ditempuh dalam
pengabdian anda
kepada-Nya, itulah yang disebut syari'ah.
Perbezaan antara din
dan syari'ah adalah bahawa, din selamanya adalah satu dan sama, baik
dahulu mahupun sekarang, maka syari'ah adalah banyak. Sebahagian
daripadanya dihapuskan, sebahagian lagi diganti. Tapi perubahan-perubahan dalam
syari'ah ini tidaklah mengubah din. Din-nya Nabi Nuh adalah sama dengan din-nya
Nabi Ibrahim, Musa Isa (Yesus), Syu'aib, Saleh, Hud, dan Muhammad
Sallallahu'alaihi Wasallam, tetapi masing-masing syari'ah dari tiap-tiap Rasul tersebut
berbeza satu sama lain sampai sejauh tertentu.
meskipun ada
perbezaan-perbezaan dalam syari'ah ini, namun semuanya adalah sama-sama Muslim
pengikut-pengikut Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Isa, pengikut-pengikut Nabi
Musa, dan kita semua ini adalah juga orang-orang Muslim kerana din kita adalah
satu dan sama. Ini menunjukkan bahawa din tidak terpengaruh oleh
perbezaan-perbezaan dalam peraturan-peraturan syari'ah. Din tetap sama
walaupun cara-cara untuk melaksanakannya berbeza.
SIFAT PERBEZAAN
DALAM SYARI'AH
Untuk memahami
perbedaan ini, marilah kita umpamakan ada seorang tuan yang mempunyai banyak
pelayan. Seorang pelayan yang tidak mengakui tuannya dengan semestinya, dan
tidak menganggap perintahnya layak untuk ditaati, adalah pelayan yang pembangkang
dan tidak patut disebut pelayan. Sedangkan mereka yang mengakui tuannya
sebagai tuan, merasa
berkewajiban menjalankan perintah-perintahnya dan takut untuk membangkang
terhadapnya, adalah layak disebut pelayan. Apabila cara-cara melaksanakan tugas
yang diberikan oleh tuan mereka itu berbeza satu sama lain, maka hal itu
tidaklah mempengaruhi sifat rupa mereka sebagai pelayan. Bila sang tuan
menunjukkan satu cara untuk me layaninya kepada seorang pelayan dan menunjukkan
cara yang lain kepada pelayan yang lain, maka pelayan yang pertama tidak berhak
untuk mengatakan bahawa hanya dia sendirilah pelayan tuannya itu dan pelayan
yang kedua itu bukan. Sama halnya, apabila pemahaman seorang pelayan tentang
perintah tuannya berbeza dengan pemahaman pelayan yang lain tetapi keduanya
melaksanakan perintah itu sebagaimana menurut pemahaman masing-masing, maka
kedua pelayan tersebut adalah sama-sama mengabdi pada tuannya dengan pengabdian
yang sama. Mungkin yang satu salah dalam memahami maksud perintah itu sedang
yang lain dapat memahaminya dengan betul. Tetapi selama keduanya tetap melaksanakan
perintah-perintah tersebut, maka tidak seorang pun boleh mengatakan kepada pelayan
yang salah faham itu bahawa, ia telah membangkang perintah tuannya dan kerana
itu ia dipecat dari jabatannya.
SIFAT PERBEZAAN
DALAM MAZHAB FIQH
Sekarang, apabila
sebahagian orang Islam memahami perintah-perintah dalam syari'ah itu dengan sesuatu
pengertian dan sebahagian orang Islam yang lain memahaminya dengan pengertian
yang berbeza, maka kedua kelompok orang Islam tersebut tetaplah orang-orang
Islam, walaupun masing-masing memilikipengertian yang berbeza tentang
perintah-perintah tersebut, dan menjalankannya dengan cara yang berbeza pula,
kerana masing-masing yang mengikuti sesuatu cara berkeyakinan bahawa
cara itulah yang
diperintahkan oleh Allah. Dalam hal ini, masing-masing kelompok tidak berhak
untuk mengatakan bahawa kelompoknya sendiri adalah hamba-hamba Allah yang sebenarnya,
sedang kelompok yang lain bukan. Yang dapat dikatakannya adalah bahawa kelompoknya
sendirilah yang memiliki pemahaman yang tepat mengenai perintah Allah, sedangkan
kelompok yang lain tidak. Tetapi mereka sama sekali tidak berhak memecat kelompok
yang lain itu dari kedudukan mereka sebagai orang-orang Islam. Barangsiapa yang
berani memecat seorang Islam dari kelslamannya bererti telah menganggap dirinya
sebagai Tuhan. Seolah-olah ia berkata: "Sebagaimana yang engkau ketahui,
adalah wajib bagimu
untuk mentaati
perintah-perintah Allah, demikian pula wajib bagimu untuk tunduk pada pemahamanku
tentang perintah Allah itu. Apabila kamu tidak mahu tunduk, maka dengan kehendakku
sendiri aku akan memecatmu dari kedudukanmu sebagai hamba Allah". Bayangkan,
betapa gawatnya hal ini! Kerana itu Rasulullah SAW mengatakan:
"Barangsiapa
dengan semena-mena mengecap seorang Muslim sebagai kafir, maka tuduhannya itu
akan berbalik kepada dirinya". Kerana Allah hanya mewajibkan seorang Muslim
taat kepada perintah-Nya saja, si penuduh itu berkata: "Tidak, kamu juga
harus tunduk pada penafsiran dan penilaianku" (yang bererti: Tuhanmu bukan
hanya Tuhan sendiri saja, tetapi aku juga adalah tuhanmu yang kecil). Dan
apabila kamu tidak tunduk pada perintahku, maka dengan kehendakku sendiri aku
akan memecat dari kedudukanmu sebagai hamba Tuhan, tidak peduli sama ada Tuhan
memecatmu
atau tidak". Barangsiapa yang sewenang-wenangnya
berkata seperti ini, bererti ia telah melibatkan dirinya ke dalam bahaya menjadi
seorang kafir, terlepas dari apakah orang yang dikata-katakannya itu berubah
dari Muslim menjadi kafir atau tidak.
BAHAYANYA TIDAK
MEMAHAMI PERBEZAAN ANTARA "DIN" DAN "SYARI'AH"
Berbagai mazhab yang
anda lihat, terdapat di kalangan umat Islam, seperti mazhab Hanafi, Syafi'i,
Ahlul Hadith dan sebagainya, semuanya mengakui Al-Qur'an dan Hadith seagai
pegangan terakhir dan melaksanakan ajaran-ajaran daripadanya sesuai dengan pemahaman
mereka. Mungkin bahawa pemahaman yang dimiliki suatu mazhab adalah betul dan
pemahaman yang lain keliru. Saya sendiri adalah penganut salah satu mazhab
tersebut dan menganggapnya betul. dan saya juga mengemukakan hujjah dengan
mereka yang menentang mazhab saya, untuk menerangkan kepada mereka apa yang
saya anggap benar dan
membuktikan apa yang
saya pandang salah. Tetapi menganggap pendapat orang lain salah adalah berbeza
dengan mengkafirkannya. Setiap orang Islam punya hak untuk mengikuti syari'ah
menurut pemahamannya sendiri. Apabila sepuluh orang Islam mengikuti sepuluh
cara yang berbeda, mereka semuanya adalah tetap orang-orang Islam selama mereka
masih percaya pada syari'ah Islam. Mereka tetap merupakan satu ummah dan tidak
ada alasan bagi mereka untuk membentuk kelompok yang terpisah-pisah. Tetapi
orang-orang yang tidak memahami hal ini lalu memecah belah masyarakat Islam
menjadi kelompok-kelompok yang terpisah-pisah kerana soal-soal yang remeh,
saling menyerang, saling berpisah solat dan masjid, menghentikan saling
kahwin-mengahwini dan saling berhubungan, dan kegiatan kelompok-kelompok yang
terdiri dari orang-orang sesama golongannya sendiri, dengan cara sedemikian
rupa seolah-olah masing-masing kelompok adalah satu umat yang berdiri sendiri.
BAHAYA PERPECAHAN
Di Hindustan ini,
ada 80 juta orang Islam. Seandainya masyarakat yang demikian besarnya ini
betul-betul bersatu dan berjuang bahu-membahu untuk menegakkan kalimah Allah,
siapa di dunia ini yang akan berani menganggap ringan terhadap mereka? Tetapi
dalam kenyatannya, kerana adanya perpecahan-perpecahan di kalangan umat, umat
ini telah terpecah-pecah menjadi beratus-ratus golongan. Masing-masing golongan
saling membenci, dan kerananya tidak dapat bersatu bahkan dalam keadaan yang
paling gawat sekalipun. Masing-masing kelompok umat Islam saling berprasangka
melebihi prasangka orang Yahudi terhadap orang Kristian. Seringkali terjadi
seorang anggota suatu kelompok umat Islam
berpihak kepada
orang-orang kafir untuk menghinakan seorang anggota kelompok umat Islam yang
lain. Dalam keadaan begini, jangan hairan bila anda melihat umat Islam
dikalahkan dan dikuasai orang lain. Itulah akibat yang ditimbulkan oleh perbuatan
mereka sendiri. Mereka telah terkena hukuman yang telah dinyatakan Allah dalam
Al-Qur'an.
"... atau Dia
mencampurkan kamu dalam golongan-golongan (yang saling bertentangan) dan merasakan
kepada sebahagian kamu keganasan sebahagian yang lain
(Surah Al-An'am:
Ayat 65).
Ertinya, salah satu
hukuman Allah ialah bahawa Ia membahagi-bahagikan anda sekalian menjadi
golongan-golongan yang berbeza-beza dan menjadikan golongan yang satu menjadi musuh
golongan yang lain. Tidak ada satu dalil pun dalam Syari'ah Allah yang dapat
dijadikan dasar untuk menjadikan mazhab-mazhab Ahlul Hadith, Hanafi, Deobandi,
Brelvi, Syi'ah, Sunni dan sebagainya sebagai umat-umat yang terpisah-pisah. Umat-umat
semacam ini adalah hasil dari kejahilan. Allah hanya menjadikan satu umat saja,
iaitu: "Umat Muslimah."
No comments:
Post a Comment